Wednesday, February 24, 2010

CERITERA HALIM




Cuaca sekitar nampak redup sekali. Awan di langit pula berarak kelabu, semacam hujan lebat bakal turun.
Di sisi-sisi jalan, tidak banyak lembu-lembu bebas meragut seperti kebiasaan di kampung-kampung. Kawanan burung yang biasa mencari bijian dan buahan di pagi hari entah kenapa tak nampak ligat melewar. Pohon-pohon kelapa yang banyak melata pun melambai-lambai tidak bermaya.

Tidak seperti lazimnya, kedai-kedai makan yang sering dikunjungi orang untuk sepinggan nasi lemak dan secawan kopi ‘o’ di waktu pagi pula masih banyak tertutup.

Semuanya bagai menzahirkan suasana campah serta suram di pagi Sabtu itu. Alam ini umpama pudar warna, hilang semangatnya.
Di ketika itu, Halim sedang meluncur laju dalam sebuah motokar besar menuju ke suatu destinasi. Ingin sampai cepat-cepat lagaknya.

‘Simpang ke Kampung Haji Dorani’.

Lampu isyarat untuk membelok dihidupkan, pedal brek kaki ditekan hampir rapat, lalu stering kereta diputar ke kiri, sebaik melepasi papan tanda tersebut. Sebatang jalan lurus yang mengufuk jauh ke depan terus diselusuri kereta BMW 325 Sports biru milik Halim.

Perasaan bercampur baur tiba-tiba membungkam naluri. Haru, kecewa, sedih dan geram bergolakan di jiwa sebaik mata menangkap panorama sawah padi yang lebar terbentang. Luasnya merentasi berekar-ekar tanah di kanan dan kiri laluan. Minda pula sarat bergemulang sejarah silam.

Di tanah itu, pernah ibu dan arwah ayah Halim mengambil upah mencedung dan mengetam padi dengan sekelumit bayaran lantaran menyara hidup mereka enam sekeluarga. Di situ dia mengerah keringat untuk membantu ibunya saban hari sesudah pulang dari sekolah.
Dengan hasil itu jugalah, ibunya berhempas-pulas membesarkan mereka adik-beradik selepas ayah pergi buat selamanya. Bagi memperoleh pendapatan yang lebih, kerap sangat dia menimba ikan di kawasan sawah pada musim kemarau. Hasil jualan ikan-ikan itu dapat juga menampung yuran persekolahan dan perbelanjaan hariannya.

Pedih keperitan hidup itu dirasakan bagai luka baru semalam. Masih terbayang, rutinnya menyidai helaian surat khabar lama pembungkus lauk dan sayuran, lalu sesudah kering dikepil menjadi koleksi bahan bacaan. Bagi Halim, tak cukup perkataan nak menggambarkan betapa daifnya kehidupan zaman remaja dulu. Kejian serta cacian tetangga dan rakan sebaya ibarat halwa telinga saban hari.

Seperti tayangan gambar di layar perak, satu persatu kanvas kehidupannya yang tepu ranjau dan duri memancar di paparan ingatan. Enggan walaupun sesaat dia menjemput detik-detik itu kembali melakar hidupnya. Sedang hakikat, dugaan dan seksaan itulah yang menjadi guru motivasi serta pembakar semangat Halim, namun sekarang tetap cemuh dia bercerita tentangnya.


Kini tiada siapa lagi yang belum kenal Halim di bandar itu. Sebutlah saja nama Doktor Abdul Halim, harus semua tahu dialah pemilik Klinik Mesra yang popular itu. Hidupnya amat senang sekarang. Segala yang dihajati pasti mampu dimiliki.

Syahdunya berpijak di kampung kelahiran pantas juga mengisi petak jiwa. Matanya melihat saujana dan tubuhnya merasa suasana, lanjar terlupa sekejap akan galangan yang pernah dialami. Terpesona diri seketika. Alam sekitar yang sudah lama tidak dirasakan itu sungguh menguja. Halim tidak berupaya lagi menahan diri untuk menikmati keindahan dan kesegaran itu semahu-mahunya.

Dimatikan saja penyaman udara kereta dan tingkap dibuka selesa. Dibiarkan bayu desa yang ditinggalkan selama ini terus membaluti jiwa dan jasadnya. Ingin sekali hawa kampung yang pernah menghangatkan kulitnya dulu, dirasai semula.
Dikecapi habis-habis setiap atom oksigen yang menyorot cabangan bronchus hingga ke pelosok alveoli. Diperinci jelas-jelas setiap bait irama alam yang menghentam ke gegendang telinga.

Namun dalam saat-saat itu, hati tetap belum rasa mencukupi. Sudah berada di kampung halaman namun jiwanya masih terasa kekurangan. Nekadnya rumah ibulah yang mesti menjadi destinasi penghabisan untuk mendamaikan hati dan perasaan.


“Along, baliklah jenguk rumah kita di kampung ini. Sudah tiga tahun Along tak pulang. Mak sekarang tak sihat, asyik sakit-sakit saja. Mak pun selalu menyebut nama Along siang dan malam. Mak ada simpan beras baru untuk Along. Sudah rindu sangat kami nak berjumpa Along. Baliklah,” rintihan Harlina terdengar di hujung corong telefon.
“Adik, bukan Along tak mahu balik. Cuma kerja di sini memang terlalu banyak, tak sempat nak pulang ke kampung. Nanti kalau ada kesempatan, Along akan pulang juga. Wang belanja mak dan adik untuk bulan ini Along dah masukkan dalam akaun. Ubat untuk mak, Along dah kirimkan,” terang Halim mengakhiri perbualan.


Masih terngiang-ngiang di telinga, suara percakapannya melalui telefon bulan lepas dengan adik bongsu. Itu bukan kali pertama Harlina menghubungi menjemput doktor muda itu balik kampung. Malah sejak kesihatan ibu mereka semakin merosot kebelakangan ini, bertambah kerap dia berusaha memujuk abangnya.

Berat nian bagi Halim untuk pulang ke kampung sejak berkhidmat di bandar. Apatah lagi setelah mengendalikan klinik sendiri tiga tahun lalu. Kemiskinan, kedaifan dan kesusahan dahulu memang telah banyak mengubah pandangannya terhadap kehidupan di kampung. Halim percaya, berada di kampung itu, tidak menjanjikan apa-apa keselesaan dan kemewahan, yang ada hanyalah kesempitan dan kepahitan yang berpanjangan. Rasa benci dan meluat yang belum pernah padam terhadap kampung sendiri telah mengikat Halim untuk tidak pulang menjenguk orang tuanya.

Khabar daripada Harlina mengenai keuzuran ibu mereka, mampu juga merobek tembok ego si Halim. Perasaan rindu kepada ibunya pula semakin menggunung dan apabila sudah tak berdaya menanggung, Halim akur untuk pulang akhirnya. Saat menatap wajah ibu dan mencium tangan memohon ampun maaf daripadanya sahaja, yang amat diidam-idamkan Halim.

Suasana mendung dan pemandangan hambar terus menyelubungi kepulangan Halim pagi itu. Tiada sedikitpun tanda-tanda yang menunjukkan hari akan kembali bersinar. Sudah banyak deretan rumah yang disusuri, namun penduduk-penduduk kampung masih lagi tidak banyak kelihatan. Naik hairan diri Halim.

“Kenapa suram dan muram sangat kampung ini?,” dia terus berteka-teki. Rumah ibunya hanya lima ratus meter lagi ke hadapan dan dia mula memperlahankan pacuannya sambil memerhati keadaan sekeliling.


Sedang memandu perlahan-lahan, sebuah motosikal merah memotong keretanya dari belakang. Cam sangat Halim dengan orang yang tengah menunggang motosikal itu walaupun sudah lama tak bersua. Dia menunggang agak laju, tetapi Halim sempat juga mengamatinya.


“Ni Pak Seman dan anak dia ni. Lajunya bawa motor!,” cakap Halim seorang diri.
“Apa yang dalam raga motosikalnya itu? Apa pula yang anak dia sedang pegang tu? Ke mana agaknya mereka nak pergi cepat-cepat ni?,” persoalan bermain-main di fikiran.


Halim asyik berkira-kira sendirian sambil terjahan angin yang memuput melalui tingkap kereta terus menggesel wajah. Dia menduga apa yang dibawa oleh Pak Seman dua beranak tadi. Lantas terlintas di benak suatu kemungkinan dahsyat yang tidak rela diterimanya saat itu.

Tiada kelibat orang kampung berkeliaran, cuaca redup serta awan gelap yang memayungi sejak pagi tadi pula seolah-olah sedang bersuara kepada Halim. Bagai ingin mengirim kepada Halim satu alamat yang mengiyakan sangkaan tersebut.

“Oh tidak!!,” Halim cuba menempias syak sebegitu jauh-jauh. Namun dia tak mampu menipu hatinya. Biarpun akal tetap menyangkal, hatinya terus dilanda keluh-kesah. Selagi dia belum menemui ibu tercinta, selagi itulah hatinya rimas dan jantungnya berdebar.

Tayar kereta Halim masih lagi berkisar perlahan. Kian hampir Halim dengan rumah ibunya, kian berat dadanya bak bertambah besar batu yang digalas di bahu.

Hatinya tersentak maha hebat! Tak semena-mena kehibaan dan kepiluan yang mendalam datang mencengkam perasaan. Diperhatikan banyak sekali kereta dan motosikal di perkarangan rumah ibunya. Orang-orang kampung memenuhi di dalam rumah dan juga di halaman.

Sangkaan Halim tadi kini hampir menjadi kebetulan. Dia terkesima. Kereta besarnya terus dihentikan serta-merta. Lantas bayangan helaian kain putih yang ada di dalam raga motosikal Pak Seman tadi melintas di ingatan. Bau daun pokok bidara yang digenggam anak Pak Seman tadi seakan-akan terhidu olehnya. Halim benar-benar dalam kecelaruan.

Rasa bersalah dan berdosa terhadap ibu dan juga adik di kampung terus memamah diri. Tanpa disedari air mata berlinangan membasahi pipi.

“Ya Tuhan!,”
“Adakah aku sudah terlambat untuk memohon ampun daripada ibuku?,”
“Akukah tanggang? Ya Tuhanku!,” jerit batinnya.


Sebak di dada tak mampu lagi ditahan, tangisan setitis dua juga tidak lagi memadai. Dalam keretanya yang terhenti di situ, Halim terus menjerit sekuat-kuatnya bersama tangisan terburai sakan. Lemah longlai seluruh badan Halim dan terketar-ketar jari-jemarinya menekup wajah.

Terlampau besar sesal Halim atas kedegilan serta keangkuhannya selama ini. Kini apa yang didamba-dambakan Halim untuk mencium tangan meminta ampun restu si ibu hanya tinggal harapan semata. Kepulangan yang diharap memancar bahagia rupa-rupanya bertukar sia-sia. Halim benar-benar dirempuh hampa!


“Tuk! Tuk! Tuk!,” bunyi pintu kereta Halim dikatuk orang.
“Halim, kenapa melolong menangis ni nak?,” terdengar oleh Halim suara lembut yang biasa didengarnya dulu.
“Maaaak!!!!! Ampunkan Halim maaak!,” Halim menjerit selantang halilintar yang menggema angkasa sebaik menoleh ke arah datangnya suara tadi.

Lantas pintu keretanya dikuak kuat dan tubuh tua yang berdiri lemah disangga Harlina itu terus didapatkannya. Dirangkul erat-erat ibunya seakan tak mahu berpisah lagi. Suara hiba beserta teriak tangis dua beranak itu kini tiada siapa yang mampu menandingi.

Tidak henti-henti perkataan mohon ampun keluar daripada mulut Halim. Dia sebulat-bulatnya insaf dan bertaubat atas sikap dan kelakuan buruk sekian lama terhadap si ibu. Berjanjilah Halim kepada perempuan itu bahawa dia akan selalu menjenguknya di kampung.

Langsung dalam keheningan tersebut, Halim tak bisa lagi berkata apa-apa yang lebih bermakna selain kata syukur ke hadrat Ilahi atas peluang yang masih diberi untuk menatap wajah, menabur bakti dan menagih kasih sayang insan berjasa lagi mulia itu. “Ya ALLAH! Sungguh Engkau Maha Pemurah lagi Maha Penyayang!!,” bisik Halim dalam sendu.

********************************************************************

“Pak Haji! Ini barang-barang yang Haji minta semalam. Semuanya dah lengkap untuk kursus pengurusan jenazah petang nanti,” bicara Pak Seman sebaik tiba di rumah Tuan Imam Kampung Haji Dorani.

“Terima kasih banyak. Letakkan saja atas para tu. Pak Seman, marilah kita sama-sama ke rumah Mak Andak Khalthum pula. Pagi ini ada kenduri besar kat sana. Katanya untuk kesyukuran,” ajak Haji Salleh sambil membetulkan ikatan serban lanjar berlungguh di atas pelana motosikalnya.

3 comments:

  1. SAYA INSAF membaca cerpen ini.

    (Contoh penggunaan perkataan insaf dengan betul).

    Anda yang tulis?

    ReplyDelete
  2. SAYA SEDAR bahawa anda insaf. =p

    Thanks muna bcoz drop by my blog. Haah yup, i wrote it my own. =)

    ReplyDelete
  3. dari sekolah lagi pandai menulis esei...
    memang terbaik la...
    hehehe...

    ReplyDelete