Friday, February 5, 2010

MASA OH MASA..


Apabila bercakap tentang makna masa, saya percaya setiap orang mampu menjelaskan maksudnya. Malahan dengan pelbagai istilah dan frasa, mereka begitu yakin itu adalah definisi yang sebetulnya. Walau bagaimanapun saya kurang yakin bahawa, apabila berbicara tentang penggunaan masa, semua daripada kita benar-benar tahu bagaimana caranya, apatah lagi kaedah mempraktikkan ia dalam hidup seharian.


Sebagai muslim, kita diterangkan cara-cara menggunakan masa mengikut jalan yang diredhai ALLAH SWT. Dalam al-Quran, surah al-Asr, ALLAH SWT telah berfirman maksudnya:-
‘Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta saling berpesan agar menurut kebenaran dan berpesan agar bersabar’.


Banyak pengajaran yang dapat kita kumpulkan daripada surah sepanjang 3 ayat ini. Apa yang saya akan kongsikan secara ringkas di sini adalah daripada apa yang telah dibaca dan difahami daripada Tafsir al-Munir karangan Dr. Wahbah al-Zuhaily berkenaan surah al-Asr.

Apabila Pencipta yang Maha Agung bersumpah dengan masa, ini membuktikan bahawa masa itu sesuatu yang amat penting sekali kepada ciptaanNYA, ummat manusia. Oleh yang demikian, usah sesekali kita memandang enteng terhadap masa dan membenarkan ia berlalu begitu sahaja. Harus kita mengisi waktu yang ada, sejajar dengan apa yang ditunjukkan.


Kemudian, ALLAH menjelaskan bahawa manusia itu sebenarnya berada dalam keadaan yang merugikan. Ini sebenarnya sebagai satu peringatan keras kepada kita semua, bahawa detik-detik waktu dan saat-saat kelapangan yang kita miliki dalam usia kita di dunia ini, sesungguhnya mungkin sedang kita sia-siakan dengan melakukan perkara yang tidak akan membawa kesenangan serta kebaikan yang berkekalan dan hakiki untuk diri kita. Bahkan apabila disia-siakan masa ini, bukan setakat mendapat kerugian, kita juga akan ditimpa kehilangan, kebinasaan dan kecelakaan.


Muslim yang sejati meyakini bahawa manusia akan dibangkitkan semula di hadapan ALLAH di akhirat kelak untuk penghakiman amalan hidup di dunia. Salah satu yang akan dipersoalkan adalah ke mana kita menghabiskan usia yang dikurniakan ALLAH. Masa yang diperuntukkan untuk kita di masa muda juga nanti dipertanggungjawabkan di hadapan ALLAH. Justeru kita sewajarnya bersikap hati-hati dan memandang berat dengan setiap apa yang kita lakukan dengan masa yang ALLAH bekalkan untuk kita ini, supaya apabila tiba harinya nanti, kita tak tergolong dalam manusia yang kerugian.


Meskipun begitu, masih ada pengecualian di kalangan hamba-hambaNya. Kelak mereka ini tidak akan tergolong dalam kelompok manusia yang rugi, malahan dijanjikan untung yang amat besar berupa nikmat dan rahmat ALLAH di kala manusia-manusia lain begitu mendambakannya. Apakah ciri-ciri mereka yang mendapat keuntungan? Inilah yang seterusnya diperjelaskan oleh ALLAH dalam ayat ke-3 surah Al-Asr. Terdapat empat ciri manusia yang tidak akan rugi, yang telah dinyatakan dalam ayat tersebut:-

1. Orang yang beriman
2. Orang yang beramal soleh
3. Orang yang berpesan-pesan agar mengikuti kebenaran
4. Orang yang berpesan-pesan agar bersabar (menghadapi halangan)


Bagi orang yang beriman dan melakukan amal soleh mereka akan beruntung kerana kesibukan menguruskan dunia tidak menjadikan mereka lalai daripada menunaikan tanggungjawab akhirat. Hati nurani mereka penuh keimanan, manakala pancaindera mereka membuktikannya dengan amalan.


Begitu jualah, orang yang sentiasa memberikan nasihat kepada orang lain dengan perkara yang memang pasti tidak dapat dinafikan lagi iaitu beriman kepada ALLAH dan mengesakanNya, melaksanakan apa yang diperintahkan dan menjauhi apa yang ditegah olehNya. Juga merangkumi semua kebaikan dan setiap perkara baik yang wajib dilakukan oleh seseorang. Inilah ia, berpesan-pesan ke arah kebenaran.

Orang yang berpesan-pesan agar bersabar di atas kewajipan-kewajipan yang ditentukan oleh ALLAH dan menjauhi maksiat serta bersabar di atas ketentuan ALLAH serta malapetaka yang menimpa, juga bakal terpisah daripada orang-orang yang dalam kerugian. Termasuklah jua memberikan nasihat supaya bersabar kepada orang yang sedang menghadapi karenah individu ataupun kumpulan yang diajak melakukan amar makruf dan dilarang daripada melakukan kemungkaran. InsyaALLAH dengan saling memberikan nasihat ke arah kesabaran ini, kita tidak termasuk golongan yang rugi.

Jadi, sebagai muslim yang sentiasa inginkan hari yang bakal ditempuh adalah lebih baik daripada hari yang sedang dan telah dilalui, kita semestinya sentiasa melakukan muhasabah dan semakan kendiri agar apa saja yang dilakukan tidak meletakkan kita dalam golongan yang mendapat kerugian kelak.


Suka untuk menambah tentang surah al-Asr ini, Imam Shafi’i ada berkata:
‘Kalau orang ramai merenung dan mengambil pakai surah inipun sudah memadai bagi mereka’.


Oleh itu renung-renung dan amal-amalkanlah nasihat dan iktibar yang terdapat dalam surah al-Asr. Semoga dengan menjadikan ia sebagai pedoman hidup, kita dapat senantiasa menambah baik kualiti muslim pada diri kita ke arah mempersiapkan diri untuk dihisab di depan Robbul Jalil nanti. Wallahualam. =))

2 comments: