Saturday, December 29, 2012

YAKINKAH KEPADA KEBENARAN?

"Dalam tubuh anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu maka baiklah seluruh anggota badan sebaliknya apabila daging itu jahat, maka jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah bahawa daging itu adalah 'al-qalb'"


 (Riwayat Bukhari dan Muslim)





P/S: Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim itu, Nabi s.a.w tidak pernah menyebut ‘hati’, sebaliknya menyebut al-qalb iaitu jantung. Adapun hati dalam bahasa Arab disebut kabid. Namun, malangnya dalam bahasa Melayu jantung selalu diterjemah sebagai hati. Sedangkan bahasa Inggeris menterjemah dengan betul iaitu ‘heart’ yang bermaksud jantung. 



(Minda Tajdid)



Dalam mengikuti berita-berita semasa di Malaysia khasnya, dan negara-negara umat Islam seluruh dunia amnya, kita selaku warga yang prihatin pasti amat hairan dan juga sedih, mengenangkan betapa suburnya kes moral dan jenayah di kalangan orang Islam. Di Malaysia sebagai contoh, berita mengenai kes rasuah, bunuh, rogol, ataupun merompak sentiasa dilaporkan setiap hari. Jika membaca Utusan Malaysia ataupun Harian Metro, sudah tentu tidak akan ada satu hari pun yang lengang tanpa laporan kes-kes sebegini. 

Kita sebagai individu Muslim seharusnya rasa terdetik di dalam hati tentang persoalan, meskipun semua orang Islam mengaku Islam, tetapi kenapa ramai yang terjebak dan sanggup melakukan perkara terkutuk sebegini? Orang yang berjawatan tinggi lupa yang mereka memegang amanah, akhirnya sanggup menerima rasuah dan pecah amanah, orang yang membunuh seakan lupa tingginya nilai dan status nyawa seorang manusia @ Khalifah di muka bumi - mereka seakan percaya pergaduhan dan perselisihan faham memberi merit untuk meragut nyawa seorang insan.

Umbi kepada permasalahan moral di kalangan orang Islam sebenarnya tidak lain dan tidak bukan adalah daripada masalah Iman. Contoh yang saya berikan di atas hanyalah masalah-masalah ketara dalam masyarakat yang mendapat perhatian media. Masalah Iman turut juga menyumbang kepada masalah-masalah di peringkat individu dan unit keluarga. 

Ingin saya mengungkap beberapa isu berkaitan dengan KEBENARAN, dan seterusnya hal MEYAKINI KEBENARAN(ataupun BERIMAN)

KEBENARAN & FUNGSI AKAL

1. Apa itu kebenaran? Kebenaran boleh secara kasarnya difahami sebagai sesuatu yang tidak diragui kesahihannya dan kemungkinan yang ia tidak benar adalah sifar. 

2. Sesuatu itu tidak cukup untuk dipanggil kebenaran jika 'benarnya' hanya dinyatakan dengan pernyataan lisan; bukti-bukti nyata mesti wujud  dan meyakinkan sebelum sesuatu itu dipanggil kebenaran. Sebagai contoh, kenyataan yang saya dilahirkan pada tahun 1987 adalah benar berdasarkan bukti sijil kelahiran yang disahkan oleh ibu bapa saya dan Jabatan Pendaftaran. 

3. Peranan akal adalah untuk meneliti bukti-bukti yang wujud, kemudiannya dengan logik menentukan sama ada sesuatu itu benar ataupun tidak. Contoh yang lebih umum, fungsi akal dalam meneliti dan mengkaji kejadian alam serta apa yang terdapat di dalamnya, lantas sampai kepada kebenaran tentang kewujudan Tuhan sebagaimana Nabi Ibrahim AS mencapai hidayah.

4. Perlu diketahui bahawa akal sangat terhad. Kita hanya mempunyai 5 deria yang menghubungkan alam kepada akal; penglihatan, pendengaran, deria merasa dengan sentuhan kulit, deria merasa dengan lidah, dan deria menghidu. Deria-deria ini juga tiada hubungan dengan sesuatu yang telah lepas dan sesuatu yang akan datang.

5. Justeru akal boleh menentukan samada sesuatu itu benar atau tidak berdasarkan bukti yang dapat dikenal pasti oleh 5 deria tersebut. Tetapi tidak semua benda boleh dikenal pasti oleh deria-deria tersebut. Sebagai contoh kaum-kaum yang pernah wujud berpuluh-puluh ribu tahun dulu dan dimusnahkan dalam bencana alam sebagainya. Sudah pasti deria-deria kita tidak dapat mengenal pasti bukti-bukti tersebut kerana mungkin bukti-bukti kewujudan mereka luput dimamah tanah dan masa.

6. Oleh yang demikian juga, fakta-fakta sains yang diasaskan daripada pemikiran logik akal, adalah benar. Tetapi pada masa yang sama, dengan sains, kita tidak mampu mempertikaikan kewujudan sesuatu yang deria-deria kita terlalu terhad untuk menelitinya. Hakikat wujudnya benda-benda ghaib dan hari akhirat sudah pasti memerlukan bukti dalam bentuk penyampaian wahyu.


KEBENARAN PALING UTAMA

1. Kebenaran paling utama tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH dan Nabi Muhammad itu Pesuruh ALLAH.

2. Di samping KEBENARAN ALLAH sebagai Rabbul 'Alamin, KEBENARAN turut merangkumi wujudnya benda ghaib yang lain seperti malaikat-malaikat, alam akhirat, dan takdir hidup manusia. Adanya Nabi-nabi dan kitab-kitab turut tergolong. 

3. Kepercayaan kepada KEBENARAN inilah yang membahagikan umat manusia kepada tiga golongan; BERIMAN, MUNAFIK, atau KAFIR.

4. Kesan langsung daripada kepercayaan kepada kebenaran ini sangat besar, golongan yang tidak percaya kepada kenyataan ini terus digelar kafir dan dijanjikan azab neraka selama-lamanya di akhirat kelak. Golongan munafik juga tidak terkecuali daripada azab.


BUKTI-BUKTI KEPADA KEBENARAN TERSEBUT

1. Al-Quran yang benar dan penuh dengan hikmah merupakan bukti utama kepada Kebenaran di atas. Nabi Muhammad SAW menjadi penyampai dan penerang kepada ayat-ayat Al-Quran. 

2. Al-Quran itu sendiri merupakan sesuatu yang amat luar biasa dari segi gaya bahasa dan ilmu-ilmu yang terkandung di dalamnya. ALLAH sendiri mencabar manusia ataupun jin untuk menampilkan hanya satu ayat yang setanding dengan Al-Quran. Banyak penemuan sains hari ini turut membuktikan kenyataan yang terkandung dalam Al-Quran. Sebagai contoh proses pembentukan janin dalam rahim.

3. Nabi Muhammad SAW juga berperanan memperkuatkan KEBENARAN ini dengan keluhuran peribadi dan cara hidup Baginda serta mukjizat-mukjizat lain yang dikurniakan ALLAH SWT.

4. Bukti-bukti lain yang membenarkan KEBENARAN ini ialah perjalanan alam yang amat teratur walaupun komplek, siang malam, pelbagai musim, hujan dan tumbuh-tumbuhan, dan banyak lagi. Ini semua banyak kali disebut di dalam Al-Quran.

5. Kejadian diri manusia daripada setitik air, pembesaran jasad, perkembangan minda dan jiwa dan banyak lagi dalam badan manusia turut menjadi bukti kepada KEBENARAN ini bagi orang yang berakal. Banyak ayat dalam AL-Quran menjelaskan hakikat ini. 

MEYAKINI@BERIMAN DENGAN KEBENARAN INI

1. Seperti yang saya nyatakan di awal perbincangan, masalah utama orang Islam di akhir zaman ini adalah masalah lemahnya Iman. Inilah yang seterusnya menyebabkan banyak keruntuhan akhlak dan moral sebahagian besar umat Islam.

2. Perlu dijelaskan di sini, mempercayai dan  meyakini membawa nilai yang berbeda. 'Meyakini' boleh difahami sebagai benar-benar percaya (dalam kalbu) kemudian keyakinan tersebut diterjemahkan dalam bentuk lisan dan perbuatan. Oleh itu meyakini sesuatu lebih kuat maknanya daripada mempercayai sesuatu. Orang yang yakin adalah orang yang beriman. 

3. Masalah dewasa ini, ialah orang Islam mengaku percaya kepada KEBENARAN (yang saya jelaskan di atas) tetapi tidak meyakini dengan hati sepenuhnya; ini diterjemahkan kepada cara perbuatan dan gaya pembawaan diri individu yang tidak menepati cara Islam dan cara Rasulullah. 

4. Mari kita renungi satu contoh tentang macam mana sekiranya kita betul-betul percaya, yakin ataupun beriman dengan sesuatu. Z belajar di M University ialah satu kebenaran. Buktinya nama Z terdapat dalam Registry M University sebagai seorang pelajar dan Z mendapat pernyataan pencapaian akademiknya setiap semester. Z oleh itu beriman yang dia adalah seorang pelajar di M University. Oleh sebab keyakinan Z kepada kebenaran tersebut, Z berusaha untuk mencapai semua objektif pembelajaran yang ditetapkan University. Z juga, apabila waktu peperiksaan, akan sentiasa datang ke dewan peperiksaan tepat pada waktunya dan cuba sedaya upaya untuk mencapai markah tertinggi. 

5. Sebab Z yakin dia pelajar di Univerity itu, Z tidak meluang masa di coffee house atau sebagainya pada waktu peperiksaan yang telah ditetapkan dan dia juga tidak dengan sengaja datang lewat untuk ujian tersebut. Z sebab yakin juga, tidak pula memjawab soalan-soalan sambil lewa dan dia sedar yang ujian-ujian ini mempengaruhi masa depannya sebagai pelajar di university tersebut. Ini membuktikan keyakinan Z kepada kebenaran yang dia belajar di M university, diterjemahkan kepada perbuatan dan pembawaan diri Z yang terpaksa akur kepada ketetapan University.

6. Perkara yang sama sepatutnya berlaku sekiranya seseorang Muslim itu yakin ataupun beriman kepada Kebenaran paling utama iaitu tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH dan Nabi Muhammad itu Pesuruh ALLAH. Keyakinan itu wajib diterjemahkan ke bentuk perbuatan. 

7. Ketidakyakinan kepada KEBENARAN inilah yang melahirkan golongan munafik. Golongan ini hanya membenarkan dengan mulut, tetapi tidak dengan dengan hati dan perbuatan. 

8. Terdapat ciri-ciri orang Munafik. Dalam Al-Quran ada disebut antaranya lalai dalam menunaikan solat dan tidak sanggup mengorbankan harta ke jalan ALLAH. Dalam Hadis pula ada dirawayatkan; orang yang apabila diberi amanah, pecah amanah, apabila berjanji, janji tidak ditepati, apabila bercakap ia berbohong dan apabila berselisih faham, dia-lah yang paling bersungguh-sungguh untuk menang (menegakkan benang basah).

9. Ciri-ciri di atas adalah selari dengan hati yang tidak begitu merasakan ALLAH Berkuasa ke atas segala-segalanya, tidak merasakan ALLAH sentiasa memerhatinya dan adanya malaikat mencatat amalan baik dan buruk, tidak ikhlas dengan ALLAH dan dalam hati itu pula tidak merasakan yang Akhirat itu jauh lebih bernilai daripada apa yang dikejar dan diperoleh di dunia fana ini. 

10. Kesimpulannya, sebagai manusia berakal kita sewajibnya hidup berasaskan KEBENARAN. KEBENARAN itu adalah segala apa yang kita yakini sebagai benar yang tiada keraguan padanya. Naif sungguh sekiranya seseorang itu percaya kepada sesuatu kebenaran tetapi tidak hidup dengan apa yang dia percayai. 

    Jika kita betul-betul percaya benarnya ALLAH SWT, AKHIRAT, AL-QURAN, dan MUHAMMAD SAW maka saya nasihati diri saya dan pembaca sekalian untuk HIDUP BERASASKAN KEBENARAN ini. Jika dalam hati kita masih ada secubit rasa keraguan, mulalah mengkaji BUKTI-BUKTI kepada KEBENARAN ini iaitu AL-QURAN, AL-HADITH dan segala kejadian di langit dan di bumi termasuklah diri kita sendiri.


Thursday, December 20, 2012

Being logical

'Human being is an animal with reasoning' 
-unknown


Asas yang membezakan manusia daripada haiwan ialah kelebihan manusia untuk berfikir. 

Berfikir boleh dimaksudkan menggunakan akal untuk menganalisis, dan berhujah dengan asas yang akhirnya membolehkan manusia memahami masalah-masalah dan  mecambahkan penyelesaian.

Oleh yang demikian, semakin hebat seseorang dalam berfikir secara sistematik dan analitik ataupun 'valid reasoning', semakin dia disegani dan bertambah tinggilah nilainya di mata umum.

Begitu juga sebaliknya. Manusia yang terencat akalnya ataupun kanak-kanak kecil,  hujah-hujah mereka tidak dipandang berat disebabkan ketidakmampuan mereka untuk berfikir secara analitikal dan rasional.

Walaupun secara umumnya, manusia mampu berfikir secara rasional, terdapat beberapa halangan yang membolehkan cara fikir dan penghujahan seseorang itu tersasar. 

Akal yang dipengaruhi kuat oleh emosi umpamanya, boleh menyebabkan seseorang itu tidak mampu berfikir secara baik dan banyak keputusan tidak tepat lahir dari akal yang dikawal emosi. Juga sekiranya terdapat kesilapan dalam proses berfikir dan penghujahan itu sendiri, seseorang itu akan melakukan 'invalid reasoning' ataupun 'false argumentation'. Contoh-contoh biasa ialah apabila seseorang itu berhujah dengan maklumat yang tidak tepat, berhujah secara 'skeptical' dan membuat kesimpulan yang terlalu umum (over-generalization). 

Memahami kaedah berfikir secara logik membolehkan kita berhujah dengan lebih yakin dan hujah-hujah tersebut pula kemudiannya  mampu mempengaruhi orang lain secara lebih berkesan. Ia pada masa yang sama mampu membantu kita membuat keputusan yang lebih bijak.